Monday, August 31, 2009
MUSLIM RAMADHAN @ MUSLIM SEBENAR ??
Posted by ahmad_syabab at 5:38 AM Monday, August 31, 2009Kini, sudah menjadi kebiasaan pada bulan Ramadhan, kebanyakan umat islam akan meningkatkan amal ibadah untuk memperoleh ganjaran yang berkali-ganda sebagai ’bonus’ yang dijanjikan oleh Allah swt. Perkara ini telah berlaku sepanjang sejarah keberadaan Islam. Ini adalah petanda baik bahawa api Islam masih marak dalam hati kebanyakan umat Islam. Semua umat Islam yang sudah baligh diwajibkan berpuasa pada bulan ini, menahan diri dari makan dan minum daripada terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Minda kita dengan mudah dapat mengaitkan rasa lapar dan dahaga yang dirasai sepanjang hari kepada sebab kita berpuasa, iaitu sebagai pengabdian diri kepada Allah swt. Namun begitu, bagi sebahagian daripada umat islam, Ramadhan bukanlah bulan menambahkan amalan di samping terus melaksanakan kewajipan. Sebaliknya, Ramadhan adalah bulan perubahan sementara. Satu fenomena masa kini yang tidak pernah wujud pada zaman awal Islam iaitu‘Muslim Ramadhan’- iaitu seorang muslim yang namanya Islam, tetapi perbuatannya hanya menepati syari’at Islam untuk jangka waktu sebulan sahaja dalam setahun. Bukankah ini perlakuan yang pelik dan benar-benar berlaku didepan mata kita sekarang ini?
Contoh individu-individu seperti ini begitu banyak, hinggakan kewujudan sekumpulan ‘Muslim Ramadhan’ dalam masyarakat Islam sama ada di Barat atau di Timur adalah fenomena biasa. Inilah orang-orang Islam yang biasanya kurang(atau tidak) mengamalkan Islam, tetapi dengan tidak semena-mena berubah menjadi muslim yang kuat beramal ibadah pada bulan mulia ini. Mereka mula mendirikan solat, berhati-hati dalam percakapan, mengawal kemarahan, menundukkan pandangan, dan meningkatkan zikrullah. Di samping amalan wajib, mereka juga berlumba-lumba mengerjakan amalan sunat seperti solat tarawih dan membaca al-Quran, maka penuhlah masjid-masjid sepanjang hari dibulan ini. Perbuatan-perbuatan haram juga biasanya dijauhi pada bulan Ramadhan. Perbualan tentangnya menjadi sesuatu yang menjijikkan. Bahkan muda-mudi Islam sedaya mungkin menjauhi aktiviti bersukaria di disco atau club, melepak atau merayau-rayau tanpa tujuan & berpacaran (ber’couple’) meskipun inilah hobi popular mereka pada bulan-bulan lain sepanjang tahun. Tidakkah mereka sedar bahawa Allah mewajibkan atau
mengharamkan sesuatu perbuatan bagi setiap muslim adalah untuk setiap saat hidup mereka? Bukannya hanya untuk sebulan sahaja.
Contoh-contoh ‘Muslim Ramadhan’ ini boleh dilihat baik dalam golongan muda mahupun tua. Bagi sebahagian yang tua, kad loteri tidak lagi dimainkan, mereka menahan diri daripada memaki-hamun, dan dapat mengawal amarah mereka terhadap anggota keluarga semasa berpuasa di bulan Ramadhan.
Malang sekali, sebaik sahaja Ramadhan berakhir, semua kebaikan yang dilihat serta-merta terbalik 180 darjah. Wanita yang bertudung kembali terdedah, menyalalah kembali api amarah menggantikan kesabaran, lenganglah masjid-masjid, Al-Quran kembali terbiar di rak dan kembalilah tabiat bersukaria(hedonisme) yang biasanya dirasmikan besar-besaran pada hari raya pertama iaitu 1 Syawal.
Jelas di sini bahawa hakikat Ramadhan tidak difahami sepenuhnya oleh kebanyakan umat Islam. Sungguh sedih melihat Ramadhan Al-Mubarak disambut sebagaimana penganut-penganut agama lain menyambut peristiwa-peristiwa keagamaan mereka, dari segi mereka melakukan perubahan sikap iaitu hanya untuk sementara.
MENGAPA...?
Mengapa ramai dikalangan umat islam bersikap begini bukanlah suatu yang misteri. Sikap beragama secara sambilan inilah yang diamalkan dalam masyarakat kita kini. Dalam peradaban Barat, agama dipandang sebagai hal peribadi, terhad kepada sekumpulan upacara dan adat (ritual) yang tidak wajar memainkan peranan dalam seluruh aktiviti kehidupan manusia. Seluruh umat islam mengisytiharkan keislaman mereka secara terbuka, namun pada masa yang sama menganut pemikiran yang mengakui bahawa Allah hanya Tuhan yang ditaati hanya sebulan dalam setahun atau hanya dalam peribadahan ritual semata. Seorang Islam yang bersikap begini terhadap Islam dan Ramadhan, sebenarnya tidak jauh bezanya (menyerupai) dengan orang Kristian/kafir yang berkelakuan sesuka hatinya, kemudian pergi ke gereja pada hari Ahad atau semasa upacara Lent, mengharapkan terampun dosanya.
Mereka-mereka yang berfahaman sedemikian biasanya menjadi sangat emosional semasa bulan Ramadhan lalu menghabiskan berjam-jam untuk bersembahyang dan berdoa. Bahkan ada yang menyimpan televisyennya, menganggap televisyen sebagai kejahatan. Biasanya mereka rasa bersalah atas perbuatan-perbuatan mereka sepanjang tahun seperti hubungan terlarang atau interaksi mereka dengan pasangan yang bukan mahram(ber’couple’), caci-maki, membuat pinjaman berasaskan riba (interest, bunga, faedah) untuk pembiayaan perumahan dan kereta, meninggalkan solat, bercakap bahasa kesat, mengumpat, pengabaian kepada orang tua atau anak-anak mereka dan sebagainya. Mereka berubah menjadi muslim yang soleh pada bulan Ramadhan adalah satu percubaan untuk mereka membersihkan diri dan mengisi ‘kekuatan roh’ yang dirasakan lemah. Kesannya hanyalah sementara. Selepas Ramadhan, perbuatan-perbuatan itu beserta kesalahan-kesalahannya datang kembali sebagaimana datangnya Syawal yang mereka nantikan.
Rasa resah dan bersalah tidak hilang dari diri orang-orang sebegini. Percaya dari satu segi bahawa kita yakni manusia adalah ciptaan Allah Yang Maha Pencipta dan Pengatur dan tujuan hidup kita ialah mengabdikan diri kepada-Nya, dan dari segi lain pula tidak mempedulikan agama ini dalam kehidupan harian, maka sudah tentu adalah satu hal yang meresahkan. Ini kerana berlaku pertentangan yang jelas dimana disatu sisi kita percaya bahawa Allah adalah Pencipta dan Dia berkuasa sepenuhnya ke atas kita/manusia, tetapi disatu sisi yang lain kita tidak mengiktiraf dan menjadikan-Nya berkuasa di dalam urusan kehidupan kecuali yang berkaitan dengan ibadah. Misalnya, seorang muslim yang amat menjaga solatnya tetapi dalam masa yang sama ber’couple’ dan mengamalkan pergaulan bebas yang jelas diharamkan oleh Allah swt. Ini adalah satu dari berjuta contoh perlakuan haram yang berlegar di dalam kehidupan umat Islam hari ini.
Inilah dilema sebenar ‘Muslim Ramadhan’-keperibadian yang bercampur-baur, bingung, di persimpangan antara Islam dan nilai-nilai sekular. Keperibadian ini tiada keagungan, malah tiada hala tuju yang jelas sebaliknya dipenuhi dengan kepalsuan, hipokrit dan kecelaruan. Bersikap jujurlah kepada diri sendiri, dan tanyakan diri kita soalan-soalan ini:
- Adakah al-Quran yang diturunkan oleh Allah swt sebagai petunjuk menjadi panduan dan amalan hanya pada sebahagian dari aspek kehidupan kita atau hanya pada bulan Ramadhan sahaja?
- Adakah kita menyangka bahawa berpuasa dan bersungguh-sungguh beribadah pada bulan ini kemudian di bulan lain kembali meninggalkan kewajipan(atau kembali melakukan larangan) sangat-sangat disukai oleh Allah?
- Inikah asas yang kita pegang untuk menyangka bahawa tidak mengapa kita tidak mengamalkan Islam pada bulan-bulan lain asalkan bulan puasa ni jadi ’alim atau baik sekejap?
Mari kita fikirkan dimanakah kita sekarang samada kita ”Muslim Ramadhan atau Muslim Sebenar
0 comments
Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan
Posted by ahmad_syabab at 5:36 AMBulan Sya’ban, bulan yang kini mula melabuhkan tirainya menandakan menjelangnya bulan Ramadhan. Allah SWT menurunkan bulan yang penuh rahmat, barakah dan keampunan ini sebagai hadiah khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW. Bulan Ramadhan dilimpahi dengan keistimewaan yang tidak terdapat di bulan lain seperti turunnya Al-Qur’an sebagai petunjuk untuk orang-orang yang beriman, adanya malam yang dinanti-nantikan oleh mereka yang beramal soleh yang lebih baik dari seribu bulan iaitu “Lailatul Qadar” dan pada bulan ini juga syaitan-syaitan dibelenggu dari membisikkan kejahatan kepada manusia.
Sesiapa sahaja yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanannya, iaitu hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT , akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu seumpama dia baru dilahirkan. Allah SWT melipatgandakan pahala amalan sunat bersamaan dengan amalan wajib, dan pahala amalan wajib digandakn sehingga tujuh ratus kali ganda. Bulan Ramadhan merupakan bulan kesabaran, bulan jihad, dan bulan kemenangan bagi umat islam. Bulan Ramadhan menyaksikan Allah SWT memberikan pertolongan kepada umat islam mendapat kemenangan dalam perang Badar, pembebasan Kota Mekah (dikenali Fat’hu Makkah), pembebasan Andalusia(Sepanyol dan Portugal) dan banyak lagi.
Bukan hanya itu, bulan Ramadhan merupakan bulan meningkatkan amal ibadah dengan memakmurkan rumah Allah, bulan menggiatkan tadarus Al-Qur’an, bulan mengeluarkan zakat fitrah, bulan menambahkan solat sunat malam, bulan bersilaturrahim, bulan menjaga lisan dan perbuatan, bulan banyakkan bersedekah, bulan untuk memperbaharui dan mengukuhkan iman, serta bulan menyucikan hati dan pemikiran. Inilah bulan Ramadhan, bulan yang setiap detik daripadanya merupakan kemuliaan dan keutamaan bagi muslim yang ingin mengambil manfaat darinya.
Namun, terdapat suatu hikmah dari bulan Ramadhan yang jarang disedari oleh umat islam, iaitu tuntutan untuk kembalinya umat islam menjadi umat yang satu(ummatan wahidah), berpegang teguh kepada Al-Qur’an sebagai tali Allah Rabbul ‘Alamin, penerapan seluruh hukum Allah SWT, serta mengembangkan risalah islam untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kuno mahupun moden untuk menuju cahaya Islam yang membawa kejayaan dunia dan akhirat.
Allah SWT mengaitkan berpuasa di bulan Ramadhan dengan ketaqwaan seperti firmanNya dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 :
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Allah SWT menegaskan bahawa:
“Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang yang mendapat kemenangan.” (QS. An-Nur [24]:Ayat 52)
Berdasarkan hal ini, Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin menyebutkan bahawa dengan adanya ketaqwaan dalam diri, setiap muslim memiliki perasaan sangat takut kepada Allah SWT, hanya berbakti dan tunduk kepada-Nya, serta membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa.
Taqwa bukanlah sekadar pengakuan semata-mata. Sebaliknya taqwa adalah manifestasi lisan, hati, dan perbuatan. Allah SWT memerintahkan kepada kita agar mengikuti seluruh perintah dan larangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT pada surah Al-Hasyr[59], ayat 7 :
“Apa sahaja yang diberi oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah ia. Apa sahaja yang dilarang bagi kamu maka tinggalkanlah ia. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.”
Maka taqwa kepada Allah merupakan ketaatan penuh terhadap semua hukum Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW tanpa pengecualian sedikit pun satu hukum dengan hukum yang lain. Berkaitan persoalan ini, Allah SWT telah berfirman pada Surah Al-Baqarah[2], ayat 208-209:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan(kaffah), dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu. Jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kebenaran kepadamu, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Imam Ibnu Katsir menjelaskan bahawa sebahagian orang-orang Yahudi yang memeluk Islam menyangka keimanan mereka tidak tercemar sekalipun mereka tetap meyakini sebahagian Kitab Taurat.
Namun, Allah SWT menegaskan bahawa masuknya mereka ke dalam Islam mewajibkan mereka beriman kepada seluruh ajaran islam(Al-Qur’an) dan meninggalkan segala ajaran dari kitab terdahulu. Apabila seseorang itu tidak beriman kepada seluruh ajaran islam, bererti dia telah mengikut jejak langkah syaitan yang sebenarnya musuh yang nyata bagi manusia. Inilah “asbabun nuzul” ayat 208 dan 209 dari surah Al-Baqarah tersebut. Dengan kata lain, ayat ini menjelaskan bahawasanya Allah SWT memerintahkan kepada umat islam untuk membuktikan keimanan mereka dengan mengambil seluruh ajaran dan syari’at islam, melakukan semua perintah dan meninggalkan apa jua yang dilarang dengan tanpa ragu-ragu.
Bulan Ramadhan sepatutnya menjadi simbol kesatuan umat islam di seluruh dunia. Kini timbul satu persoalan, mengapa ada perbezaan hari dalam penetapan awal Ramadhan dan Syawal bagi umat islam? Agama Nasrani(Kristian) walaupun majoriti penganut mereka tidak mengamalkan ajaran kitab Bible, tetapi mereka menyambut perayaan (Hari Krismas) serentak di seluruh dunia. Begitu juga dengan sambutan Tahun Baru Masihi yang disambut hampir 100% manusia di bumi, tidak pernah kita terdengar berita ada negara yang terlewat menyambutnya walaupun sehari. Bagaimana mungkin umat islam dengan rela hati boleh menerima keadaan ini berlaku walaupun ia jelas melanggar logik akal? Yang lebih utama, ia terang-terangan melanggar perintah Allah agar umat islam bersatu dalam menjalankan hukum ketentuan-Nya. Bagaimana umat islam mahu bersatu menentang pengganas Israel jika isu yang sekecil ini pun gagal diselesaikan?
Islam sememangnya ada penyelesaian terhadap masalah ini. Penetapan awal dan akhir Ramadhan adalah berdasarkan “rukyah”(iaitu pemerhatian mata secara langsung), bukanlah melalui hisab(pengiraan). Dengan kata lain, penetapan hilal(anak bulan) wajib bersandarkan pada kesaksian seorang muslim yang adil yang telah menyaksikannya secara langsung, bukan berdasarkan pengiraan. Kesaksian pula cukup dilakukan oleh seorang yang adil. Ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, ia berkata:
Ada seorang Arab mendatangi Rasulullah SAW dan berkata, ‘Aku telah melihat bulan(hilal), iaitu bulan Ramadhan.’ Kemudian Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah engkau telah bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah?’ lelaki itu mnjawab: ‘Benar’. Rasulullah bertanya lagi: ‘Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Benar”. Rasulullah SAW bersabda: ‘Wahai Bilal, berdirilah dan kumandangkan azan, dan khabarkan kepada mereka(umat islam) agar berpuasa pada esok hari.’

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada para saksi: “Jika kamu melihatnya seperti kamu melihat matahari, maka bersaksilah. (Namun) jika tidak, maka tinggalkanlah.” (Ahmad Ad-Da’ur, Kitab Ahkam Al-Baiyinat)
Pada zaman yang serba moden dengan kecanggihan teknologi pencerapan hilal dan dengan kemudahan penyebaran informasi yang global kini, sepatutnya tiada sebab untuk kita tidak bersatu menyambut hari yang penuh barakah ini bersama, kecuali wujudnya faktor-faktor kepentingan tertentu.
Impak dari perbezaan ini adalah kesalahan yang serius! Akan ada sebahagian umat islam di sesetengah negara yang akan berpuasa pada hari yang diharamkan berpuasa iaitu pada 1 Syawal. Kita juga akan keliru dalam meramalkan malam Lailatul Qadar. Rasulullah SAW mengatakan Lailatul Qadar akan datang pada malam ganjil. Jadi, malam ganjil di negara manakah yang akan berlakunya Lailatul Qadar? Malaysia atau Arab Saudi? Ada yang mengatakan perbezaan ini adalah khilaf dikalangan ulama’. Persoalan sebenarnya, sejauh manakah kita berusaha untuk mencari dalil yang terkuat dalam penentuan hilal ini? ataukah hanya sekadar mengikut ketetapan pemimpin dan ulama’ yang ada?
Khatimahnya, marilah kita menjadikan Ramadhan tahun ini sebagai momentum untuk membina kekuatan syakhsiyah islamiyah agar kita berpegang teguh dengan syari’at islam secara keseluruhannya(kaffah). Kita yakin syari’at islam telah lengkap dan disempurnakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT pada Surah Al-Maidah, ayat 3:
“..pada hari ni telah Aku sempurnakan agamamu untukmu dan Aku telah cukupkan atasmu nikmat-Ku dan Aku redhai islam sebagai agamamu.”
Kita juga wajib meyakini syari’at yang dibawa oleh Rasulullah SAW ini adalah syari’at yang unggul dan sesuai hingga hari kiamat. Kita juga sepatutnya meyakini Islam ada penyelesaian terhadap semua masalah manusia termasuklah masalah dalam penentuan awal dan akhir Ramadhan. Marilah kita semua menjadi muslim yang ikhlas dan taat untuk melaksanakan seluruh perintah dan larangan Allah SWT. Walaupun di kehidupan dunia ini kita belum mendapat nikmat ataupun azab kerana taat atau ingkar(maksiat) pada ketentuan hukum Allah. Ketahuilah bahawa hari kebangkitan di mahsyar yang mengerikan dan azab neraka yang maha pedih pasti sedia menanti bagi manusia yang ingkar akan ketentuan hukum Allah di dunia. Seterusnya, muslim yang ikhlas dan taat kepada Allah sahaja yang akan mendapat syafaat Rasulullah dan memperolehi nikmat di syurga yang kekal abadi. Wallahu a’lam.
0 comments