Monday, August 31, 2009

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan

Monday, August 31, 2009

Bulan Sya’ban, bulan yang kini mula melabuhkan tirainya menandakan menjelangnya bulan Ramadhan. Allah SWT menurunkan bulan yang penuh rahmat, barakah dan keampunan ini sebagai hadiah khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW. Bulan Ramadhan dilimpahi dengan keistimewaan yang tidak terdapat di bulan lain seperti turunnya Al-Qur’an sebagai petunjuk untuk orang-orang yang beriman, adanya malam yang dinanti-nantikan oleh mereka yang beramal soleh yang lebih baik dari seribu bulan iaitu “Lailatul Qadar” dan pada bulan ini juga syaitan-syaitan dibelenggu dari membisikkan kejahatan kepada manusia.

Sesiapa sahaja yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanannya, iaitu hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT , akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu seumpama dia baru dilahirkan. Allah SWT melipatgandakan pahala amalan sunat bersamaan dengan amalan wajib, dan pahala amalan wajib digandakn sehingga tujuh ratus kali ganda. Bulan Ramadhan merupakan bulan kesabaran, bulan jihad, dan bulan kemenangan bagi umat islam. Bulan Ramadhan menyaksikan Allah SWT memberikan pertolongan kepada umat islam mendapat kemenangan dalam perang Badar, pembebasan Kota Mekah (dikenali Fat’hu Makkah), pembebasan Andalusia(Sepanyol dan Portugal) dan banyak lagi.


Bukan hanya itu, bulan Ramadhan merupakan bulan meningkatkan amal ibadah dengan memakmurkan rumah Allah, bulan menggiatkan tadarus Al-Qur’an, bulan mengeluarkan zakat fitrah, bulan menambahkan solat sunat malam, bulan bersilaturrahim, bulan menjaga lisan dan perbuatan, bulan banyakkan bersedekah, bulan untuk memperbaharui dan mengukuhkan iman, serta bulan menyucikan hati dan pemikiran. Inilah bulan Ramadhan, bulan yang setiap detik daripadanya merupakan kemuliaan dan keutamaan bagi muslim yang ingin mengambil manfaat darinya.

Namun, terdapat suatu hikmah dari bulan Ramadhan yang jarang disedari oleh umat islam, iaitu tuntutan untuk kembalinya umat islam menjadi umat yang satu(ummatan wahidah), berpegang teguh kepada Al-Qur’an sebagai tali Allah Rabbul ‘Alamin, penerapan seluruh hukum Allah SWT, serta mengembangkan risalah islam untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kuno mahupun moden untuk menuju cahaya Islam yang membawa kejayaan dunia dan akhirat.

Allah SWT mengaitkan berpuasa di bulan Ramadhan dengan ketaqwaan seperti firmanNya dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 :

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”

Allah SWT menegaskan bahawa:

“Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang yang mendapat kemenangan.” (QS. An-Nur [24]:Ayat 52)

Berdasarkan hal ini, Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin menyebutkan bahawa dengan adanya ketaqwaan dalam diri, setiap muslim memiliki perasaan sangat takut kepada Allah SWT, hanya berbakti dan tunduk kepada-Nya, serta membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa.

Taqwa bukanlah sekadar pengakuan semata-mata. Sebaliknya taqwa adalah manifestasi lisan, hati, dan perbuatan. Allah SWT memerintahkan kepada kita agar mengikuti seluruh perintah dan larangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT pada surah Al-Hasyr[59], ayat 7 :

“Apa sahaja yang diberi oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah ia. Apa sahaja yang dilarang bagi kamu maka tinggalkanlah ia. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.”

Maka taqwa kepada Allah merupakan ketaatan penuh terhadap semua hukum Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW tanpa pengecualian sedikit pun satu hukum dengan hukum yang lain. Berkaitan persoalan ini, Allah SWT telah berfirman pada Surah Al-Baqarah[2], ayat 208-209:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan(kaffah), dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu. Jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kebenaran kepadamu, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Imam Ibnu Katsir menjelaskan bahawa sebahagian orang-orang Yahudi yang memeluk Islam menyangka keimanan mereka tidak tercemar sekalipun mereka tetap meyakini sebahagian Kitab Taurat.

Namun, Allah SWT menegaskan bahawa masuknya mereka ke dalam Islam mewajibkan mereka beriman kepada seluruh ajaran islam(Al-Qur’an) dan meninggalkan segala ajaran dari kitab terdahulu. Apabila seseorang itu tidak beriman kepada seluruh ajaran islam, bererti dia telah mengikut jejak langkah syaitan yang sebenarnya musuh yang nyata bagi manusia. Inilah “asbabun nuzul” ayat 208 dan 209 dari surah Al-Baqarah tersebut. Dengan kata lain, ayat ini menjelaskan bahawasanya Allah SWT memerintahkan kepada umat islam untuk membuktikan keimanan mereka dengan mengambil seluruh ajaran dan syari’at islam, melakukan semua perintah dan meninggalkan apa jua yang dilarang dengan tanpa ragu-ragu.

Bulan Ramadhan sepatutnya menjadi simbol kesatuan umat islam di seluruh dunia. Kini timbul satu persoalan, mengapa ada perbezaan hari dalam penetapan awal Ramadhan dan Syawal bagi umat islam? Agama Nasrani(Kristian) walaupun majoriti penganut mereka tidak mengamalkan ajaran kitab Bible, tetapi mereka menyambut perayaan (Hari Krismas) serentak di seluruh dunia. Begitu juga dengan sambutan Tahun Baru Masihi yang disambut hampir 100% manusia di bumi, tidak pernah kita terdengar berita ada negara yang terlewat menyambutnya walaupun sehari. Bagaimana mungkin umat islam dengan rela hati boleh menerima keadaan ini berlaku walaupun ia jelas melanggar logik akal? Yang lebih utama, ia terang-terangan melanggar perintah Allah agar umat islam bersatu dalam menjalankan hukum ketentuan-Nya. Bagaimana umat islam mahu bersatu menentang pengganas Israel jika isu yang sekecil ini pun gagal diselesaikan?

Islam sememangnya ada penyelesaian terhadap masalah ini. Penetapan awal dan akhir Ramadhan adalah berdasarkan “rukyah”(iaitu pemerhatian mata secara langsung), bukanlah melalui hisab(pengiraan). Dengan kata lain, penetapan hilal(anak bulan) wajib bersandarkan pada kesaksian seorang muslim yang adil yang telah menyaksikannya secara langsung, bukan berdasarkan pengiraan. Kesaksian pula cukup dilakukan oleh seorang yang adil. Ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, ia berkata:

Ada seorang Arab mendatangi Rasulullah SAW dan berkata, ‘Aku telah melihat bulan(hilal), iaitu bulan Ramadhan.’ Kemudian Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah engkau telah bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah?’ lelaki itu mnjawab: ‘Benar’. Rasulullah bertanya lagi: ‘Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Benar”. Rasulullah SAW bersabda: ‘Wahai Bilal, berdirilah dan kumandangkan azan, dan khabarkan kepada mereka(umat islam) agar berpuasa pada esok hari.’

Rounded Rectangle: Penyalinan semula artikel ini amat dialu-alukan. Tiada Hakcipta dalam Islam. Semoga usaha anda dapat mengembangkan dakwah Islam dan diredhai Allah SWT. Untuk berdiskusi apa juga topik menyentuh isu mahasiswa, isu semasa dll dan ingin memberi sebarang maklumbalas, sila e-mailkan kepada inteleks@gmail.com.


Rasulullah SAW pernah bersabda kepada para saksi: “Jika kamu melihatnya seperti kamu melihat matahari, maka bersaksilah. (Namun) jika tidak, maka tinggalkanlah.” (Ahmad Ad-Da’ur, Kitab Ahkam Al-Baiyinat)

Pada zaman yang serba moden dengan kecanggihan teknologi pencerapan hilal dan dengan kemudahan penyebaran informasi yang global kini, sepatutnya tiada sebab untuk kita tidak bersatu menyambut hari yang penuh barakah ini bersama, kecuali wujudnya faktor-faktor kepentingan tertentu.

Impak dari perbezaan ini adalah kesalahan yang serius! Akan ada sebahagian umat islam di sesetengah negara yang akan berpuasa pada hari yang diharamkan berpuasa iaitu pada 1 Syawal. Kita juga akan keliru dalam meramalkan malam Lailatul Qadar. Rasulullah SAW mengatakan Lailatul Qadar akan datang pada malam ganjil. Jadi, malam ganjil di negara manakah yang akan berlakunya Lailatul Qadar? Malaysia atau Arab Saudi? Ada yang mengatakan perbezaan ini adalah khilaf dikalangan ulama’. Persoalan sebenarnya, sejauh manakah kita berusaha untuk mencari dalil yang terkuat dalam penentuan hilal ini? ataukah hanya sekadar mengikut ketetapan pemimpin dan ulama’ yang ada?

Khatimahnya, marilah kita menjadikan Ramadhan tahun ini sebagai momentum untuk membina kekuatan syakhsiyah islamiyah agar kita berpegang teguh dengan syari’at islam secara keseluruhannya(kaffah). Kita yakin syari’at islam telah lengkap dan disempurnakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT pada Surah Al-Maidah, ayat 3:

“..pada hari ni telah Aku sempurnakan agamamu untukmu dan Aku telah cukupkan atasmu nikmat-Ku dan Aku redhai islam sebagai agamamu.”

Kita juga wajib meyakini syari’at yang dibawa oleh Rasulullah SAW ini adalah syari’at yang unggul dan sesuai hingga hari kiamat. Kita juga sepatutnya meyakini Islam ada penyelesaian terhadap semua masalah manusia termasuklah masalah dalam penentuan awal dan akhir Ramadhan. Marilah kita semua menjadi muslim yang ikhlas dan taat untuk melaksanakan seluruh perintah dan larangan Allah SWT. Walaupun di kehidupan dunia ini kita belum mendapat nikmat ataupun azab kerana taat atau ingkar(maksiat) pada ketentuan hukum Allah. Ketahuilah bahawa hari kebangkitan di mahsyar yang mengerikan dan azab neraka yang maha pedih pasti sedia menanti bagi manusia yang ingkar akan ketentuan hukum Allah di dunia. Seterusnya, muslim yang ikhlas dan taat kepada Allah sahaja yang akan mendapat syafaat Rasulullah dan memperolehi nikmat di syurga yang kekal abadi. Wallahu a’lam.


0 comments:

Post a Comment