Monday, August 31, 2009

MUSLIM RAMADHAN @ MUSLIM SEBENAR ??

Monday, August 31, 2009
Bulan Ramadhan yang mulia telah pun tiba. Pada bulan inilah dibuka pintu rahmat, ditutup pintu neraka, dan dirantai syaitan-syaitan. Inilah bulan yang dipilih Allah sebagai bulan puasa, satu ibadah yang dilakukan semata-mata untuk-Nya. Allah swt telah memberi bulan ini keutamaan atas bulan-bulan lain dengan menjadikannya bulan rahmat bagi sekalian hamba-Nya yang beriman. Kerugian yang amat besarlah bagi seorang muslim yang membiarkan Ramadhan berlalu tanpa mengambil sedikit pun manfaat darinya untuk mendekatkan diri kepada Allah(taqarrub ilallah). Bahkan lebih malang lagi bila ada muslim yang berpuasa, tapi dalam masa yang sama tidak mendirikan solat. Tidakkah ia tahu bahawa solat fardhu adalah amalan yang pertama sekali yang akan disoal oleh Allah swt kelak? Mungkin ia malu jika tidak berpuasa, kerana mungkin ia beranggapan bahawa Hari Raya ’Eidul Fitri hanya untuk orang yang berpuasa sahaja. Semoga ia segera berubah sebelum menyesal di kemudian hari, kerana hanya dirinya sendiri yang boleh mengubahnya.

Kini, sudah menjadi kebiasaan pada bulan Ramadhan, kebanyakan umat islam akan meningkatkan amal ibadah untuk memperoleh ganjaran yang berkali-ganda sebagai ’bonus’ yang dijanjikan oleh Allah swt. Perkara ini telah berlaku sepanjang sejarah keberadaan Islam. Ini adalah petanda baik bahawa api Islam masih marak dalam hati kebanyakan umat Islam. Semua umat Islam yang sudah baligh diwajibkan berpuasa pada bulan ini, menahan diri dari makan dan minum daripada terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Minda kita dengan mudah dapat mengaitkan rasa lapar dan dahaga yang dirasai sepanjang hari kepada sebab kita berpuasa, iaitu sebagai pengabdian diri kepada Allah swt. Namun begitu, bagi sebahagian daripada umat islam, Ramadhan bukanlah bulan menambahkan amalan di samping terus melaksanakan kewajipan. Sebaliknya, Ramadhan adalah bulan perubahan sementara. Satu fenomena masa kini yang tidak pernah wujud pada zaman awal Islam iaitu‘Muslim Ramadhan’- iaitu seorang muslim yang namanya Islam, tetapi perbuatannya hanya menepati syari’at Islam untuk jangka waktu sebulan sahaja dalam setahun. Bukankah ini perlakuan yang pelik dan benar-benar berlaku didepan mata kita sekarang ini?


Contoh individu-individu seperti ini begitu banyak, hinggakan kewujudan sekumpulan ‘Muslim Ramadhan’ dalam masyarakat Islam sama ada di Barat atau di Timur adalah fenomena biasa. Inilah orang-orang Islam yang biasanya kurang(atau tidak) mengamalkan Islam, tetapi dengan tidak semena-mena berubah menjadi muslim yang kuat beramal ibadah pada bulan mulia ini. Mereka mula mendirikan solat, berhati-hati dalam percakapan, mengawal kemarahan, menundukkan pandangan, dan meningkatkan zikrullah. Di samping amalan wajib, mereka juga berlumba-lumba mengerjakan amalan sunat seperti solat tarawih dan membaca al-Quran, maka penuhlah masjid-masjid sepanjang hari dibulan ini. Perbuatan-perbuatan haram juga biasanya dijauhi pada bulan Ramadhan. Perbualan tentangnya menjadi sesuatu yang menjijikkan. Bahkan muda-mudi Islam sedaya mungkin menjauhi aktiviti bersukaria di disco atau club, melepak atau merayau-rayau tanpa tujuan & berpacaran (ber’couple’) meskipun inilah hobi popular mereka pada bulan-bulan lain sepanjang tahun. Tidakkah mereka sedar bahawa Allah mewajibkan atau

mengharamkan sesuatu perbuatan bagi setiap muslim adalah untuk setiap saat hidup mereka? Bukannya hanya untuk sebulan sahaja.

Contoh-contoh ‘Muslim Ramadhan’ ini boleh dilihat baik dalam golongan muda mahupun tua. Bagi sebahagian yang tua, kad loteri tidak lagi dimainkan, mereka menahan diri daripada memaki-hamun, dan dapat mengawal amarah mereka terhadap anggota keluarga semasa berpuasa di bulan Ramadhan.
Malang sekali, sebaik sahaja Ramadhan berakhir, semua kebaikan yang dilihat serta-merta terbalik 180 darjah. Wanita yang bertudung kembali terdedah, menyalalah kembali api amarah menggantikan kesabaran, lenganglah masjid-masjid, Al-Quran kembali terbiar di rak dan kembalilah tabiat bersukaria(hedonisme) yang biasanya dirasmikan besar-besaran pada hari raya pertama iaitu 1 Syawal.

Jelas di sini bahawa hakikat Ramadhan tidak difahami sepenuhnya oleh kebanyakan umat Islam. Sungguh sedih melihat Ramadhan Al-Mubarak disambut sebagaimana penganut-penganut agama lain menyambut peristiwa-peristiwa keagamaan mereka, dari segi mereka melakukan perubahan sikap iaitu hanya untuk sementara.

MENGAPA...?

Mengapa ramai dikalangan umat islam bersikap begini bukanlah suatu yang misteri. Sikap beragama secara sambilan inilah yang diamalkan dalam masyarakat kita kini. Dalam peradaban Barat, agama dipandang sebagai hal peribadi, terhad kepada sekumpulan upacara dan adat (ritual) yang tidak wajar memainkan peranan dalam seluruh aktiviti kehidupan manusia. Seluruh umat islam mengisytiharkan keislaman mereka secara terbuka, namun pada masa yang sama menganut pemikiran yang mengakui bahawa Allah hanya Tuhan yang ditaati hanya sebulan dalam setahun atau hanya dalam peribadahan ritual semata. Seorang Islam yang bersikap begini terhadap Islam dan Ramadhan, sebenarnya tidak jauh bezanya (menyerupai) dengan orang Kristian/kafir yang berkelakuan sesuka hatinya, kemudian pergi ke gereja pada hari Ahad atau semasa upacara Lent, mengharapkan terampun dosanya.

Mereka-mereka yang berfahaman sedemikian biasanya menjadi sangat emosional semasa bulan Ramadhan lalu menghabiskan berjam-jam untuk bersembahyang dan berdoa. Bahkan ada yang menyimpan televisyennya, menganggap televisyen sebagai kejahatan. Biasanya mereka rasa bersalah atas perbuatan-perbuatan mereka sepanjang tahun seperti hubungan terlarang atau interaksi mereka dengan pasangan yang bukan mahram(ber’couple’), caci-maki, membuat pinjaman berasaskan riba (interest, bunga, faedah) untuk pembiayaan perumahan dan kereta, meninggalkan solat, bercakap bahasa kesat, mengumpat, pengabaian kepada orang tua atau anak-anak mereka dan sebagainya. Mereka berubah menjadi muslim yang soleh pada bulan Ramadhan adalah satu percubaan untuk mereka membersihkan diri dan mengisi ‘kekuatan roh’ yang dirasakan lemah. Kesannya hanyalah sementara. Selepas Ramadhan, perbuatan-perbuatan itu beserta kesalahan-kesalahannya datang kembali sebagaimana datangnya Syawal yang mereka nantikan.

Rasa resah dan bersalah tidak hilang dari diri orang-orang sebegini. Percaya dari satu segi bahawa kita yakni manusia adalah ciptaan Allah Yang Maha Pencipta dan Pengatur dan tujuan hidup kita ialah mengabdikan diri kepada-Nya, dan dari segi lain pula tidak mempedulikan agama ini dalam kehidupan harian, maka sudah tentu adalah satu hal yang meresahkan. Ini kerana berlaku pertentangan yang jelas dimana disatu sisi kita percaya bahawa Allah adalah Pencipta dan Dia berkuasa sepenuhnya ke atas kita/manusia, tetapi disatu sisi yang lain kita tidak mengiktiraf dan menjadikan-Nya berkuasa di dalam urusan kehidupan kecuali yang berkaitan dengan ibadah. Misalnya, seorang muslim yang amat menjaga solatnya tetapi dalam masa yang sama ber’couple’ dan mengamalkan pergaulan bebas yang jelas diharamkan oleh Allah swt. Ini adalah satu dari berjuta contoh perlakuan haram yang berlegar di dalam kehidupan umat Islam hari ini.

Inilah dilema sebenar ‘Muslim Ramadhan’-keperibadian yang bercampur-baur, bingung, di persimpangan antara Islam dan nilai-nilai sekular. Keperibadian ini tiada keagungan, malah tiada hala tuju yang jelas sebaliknya dipenuhi dengan kepalsuan, hipokrit dan kecelaruan. Bersikap jujurlah kepada diri sendiri, dan tanyakan diri kita soalan-soalan ini:

- Adakah al-Quran yang diturunkan oleh Allah swt sebagai petunjuk menjadi panduan dan amalan hanya pada sebahagian dari aspek kehidupan kita atau hanya pada bulan Ramadhan sahaja?
- Adakah kita menyangka bahawa berpuasa dan bersungguh-sungguh beribadah pada bulan ini kemudian di bulan lain kembali meninggalkan kewajipan(atau kembali melakukan larangan) sangat-sangat disukai oleh Allah?
- Inikah asas yang kita pegang untuk menyangka bahawa tidak mengapa kita tidak mengamalkan Islam pada bulan-bulan lain asalkan bulan puasa ni jadi ’alim atau baik sekejap?

Mari kita fikirkan dimanakah kita sekarang samada kita ”Muslim Ramadhan atau Muslim Sebenar

0 comments:

Post a Comment